Perbaiki Sistem Takaful Islam Malaysia

Saudara Pengarang,
Assalamualaikum,Saya telah menjadi pelanggan Takaful Malaysia sejak 1997. Oleh kerana ia mempunyai pendekatan dan perjalanan mengikut syariah, jadi saya mengambil keputusan untuk menyertai skim syarikat.

<!––>

Beberapa minggu lalu ada dipaparkan pada slot berita utama televisyen berkenaan ketidakpuasan hati pelanggan terhadap syarikat yang gagal membayar keuntungan tahunan satu skim yang disertainya.

Pihak pengurusan memberi respon yang mengatakan pelanggan mesti memahami konsep mudarrabah.

Apa yang berlaku kepada saya pula ialah tuntutan sijil matang bukan keuntungan tahunan. Sijil saya matang pada 04/10/2007.

Saya telah pergi ke cawangan terdekat sebanyak dua kali. Jawapannya sungguh menyakitkan hati, “tugas kami hanya menghantar permohonan sahaja”.

Walaupun pedih, tapi mungkin ada betulnya juga kerana permohonan diproses oleh ibu pejabat. Saya telah menghantar sebanyak dua kali e-mel kepada syarikat tetapi tiada jawapan.

Saya menghubungi pihak syarikat melalui telefon sebanyak lima kali kalau tidak silap. Jawapannya memang mengecewakan setiap kali pihak perhubungan pelanggan memberikan jawapan semuanya berlainan.

Empat bulan tidak dihubungi

Apa yang amat menyakitkan hati, mereka meminta nombor telefon saya untuk dihubungi kemudiannya, tapi sepanjang empat bulan ini satu panggilan telefon pun saya tidak terima daripada pihak syarikat.

Saya berasakan seolah-oleh pihak syarikat bersifat sambil lewa dalam menangani masalah pelanggan.

Inikah dia syarikat yang ada pelbagai pengiktirafan seperti Superbrand Status 2005, The Best Provider Of Takaful Services 2004 dan AA3 ‘rating’?

Lebih mengecewakan lagi, ia adalah syarikat yang menjalankan prinsip Islam. Saya rasa ianya lebih teruk daripada syarikat konvensional lain.

Menunaikan janji adalah salah satu prinsip Islam. Janganlah memalukan Agama Islam. Janganlah hanya lembut gigi ketika mencari pelanggan, menabur seribu janji, cekap ketika meminta pelanggan membuat bayaran. — aba.


Leave a comment